PENGACARA dan selebriti popular, Datuk Aznil Nawawi mencuri tumpuan para graduan serta ibu bapa yang hadir di Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) Ke-62 pada Sabtu.

Aznil atau lebih mesra dengan panggilan Pak Nil memberitahu kehadiran beliau buat julung kalinya ke istiadat konvokesyen berkenaan adalah sebagai Duta Alumni UM.


“Pak Nil dijemput hadir sebagai alumni Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran selepas berjaya menamatkan pengajian pada tahun 1985.


“Selain itu, Pak Nil juga menjadi saksi dalam majlis ini dan pada masa yang sama turut mengalu-alukan kehadiran mereka semua sebagai alumni baharu UM,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Mengaku teruja kembali ke pentas yang sama selepas 37 tahun, Pak Nil seronok menghabiskan masa bersama para graduan dan keluarga mereka.

“Saya tak keluar dari dewan... sibuk bergambar.

"Saya faham perasaan mereka setelah berdepan kesukaran dengan COVID-19, akhirnya tamat juga pengajian.

“Tersentuh hati melihat wajah ibu bapa yang datang dari jauh semata-mata mahu melihat anak-anak mereka.

"Saya seronok untuk mereka,” tambahnya.

UM meraikan 7,863 graduan dalam istiadat konvokesyen pada kali ini dalam 15 sidang bermula 5 hingga 12 Disember 2022.